Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia Fahmi Fadzil mengumumkan peralihan daripada pemborong rangkaian tunggal 5G kepada pemborong dwirangkaian yang akan bermula apabila liputan 5G yang sedang dilaksana DNB mencapai tahap 80% kawasan berpenduduk negara.
Sasaran itu dijangka dicapai pada hujung tahun ini, bermakna pemborong kedua bakal dilantik seawal Januari 2024, sekaligus mengesahkan laporan Reuters sebelum ini.
Fahmi pada sidang akhbar semalam juga menegaskan yang Malaysia akan “menghormati” kontrak DNB bersama Ericsson untuk melaksanakan rangkaian 5G pertama, tetapi untuk rangkaian kedua ia akan melibatkan “entiti B” dan “pasaran bebas”.
Ditanya tentang kemungkinan Huawei akan turut melobi untuk terlibat dalam pelaksanaan 5G di Malaysia, Fahmi berkata beliau tidak tahu wujudnya rundingan sebegitu.
“Tetapi terpulang kepada entiti B dan bila mereka mahu memulakan pelaksanaan (rankaian kedua) untuk mempertimbangkan perkara ini,” katanya.
“Kerajaan berkecuali dalam perkara ini. Kami tidak mempertimbangkannya kerana mereka (entiti B) secara semulajadinya bersifat komersial…tetapi jika kita ambil kira prinsip pasaran bebas, saya percaya yang terbaik akan menang,” tambahnya.
Peralihan kepada dwirangkaian ini juga disifatkan Fahmi akan menyelesaikan isu tuduhan monopoli DNB dalam pelaksanaan 5G negara.
Sebelum ini, duta Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat dalam sepucuk surat dihantar kerajaan memberi amaran tentang risiko melibatkan syarikat China termasuk Huawei dalam pelaksanaan rangkaian 5G negara.
Fahmi bagaimanapun menegaskan yang Malaysia mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan urusan dalaman sendiri.
“Penting untuk ditegaskan, sebagai sebuah negara yang berdaulat, Malaysia dan kerajaan Malaysia mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan dasar dalam negara kita sendiri tanpa kacau ganggu dan keterlibatan mana-mana pihak lain.
“Tetapi saya percaya sebarang keputusan yang dibuat pihak kerajaan seperti telah kita lakukan hari ni bukan saja mendatangkan manfaat rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi juga satu keadaan yang harmoni dengan isu antarabangsa,” katanya.
Untuk rekod, entiti B yang akan melaksanakan rangkaian 5G kedua akan terdiri daripada syarikat-syarikat telekomunikasi. Maxis syarikat telko terbesar negara menangguhkan penglibatan untuk terlibat dalam rangkaian 5G dilaksana DNB. Syarikat itu mempunyai kerjasama strategik jangka panjang dengan Huawei.
The Coverage Malaysia