COLIN WONG CIPTA SENSASI DI KEJOHANAN PICKLEBALL ‘ESM MONTHLY CHALLENGE 0.1

Kuala Lumpur – Bekas pemain tenis remaja negara, Colin Wong mencipta kejayaan manis apabila menjuarai kategori Beregu Lelaki bersama gandingannya, Cavan Ang. Gandingan tersebut menewaskan gandingan Andrew Martin dan Tee Chong Jui, pada edisi sulung Kejohanan Pickleball ESM Monthly Challenge 0.1 di ESM Pickters Arena, Universiti Malaya, Sabtu lepas. Colin turut berpeluang untuk mencipta kejuaraan berganda, tetapi terpaksa berpuas hati selaku Naib Juara bagi kategori Beregu Campuran. Bersama gandingannya, Yong Mei Ling, beliau tewas kepada jaguh tenis negara, Muhammad Aiman Hamdan yang bergandingan bersama seorang lagi bekas pemain tenis negara, Nurin Nabilah.

Kemenangan di kejohanan berstatus karnival bersiri ini membolehkan kedua-dua pasangan beregu terbabit menerima hadiah RM500 selaku johan bagi setiap kategori. Sesi penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Afizal Abu Othman, Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya. ESM Monthly Challenge merupakan sebuah kejohanan Pickleball yang diadakan secara bulanan bagi memperkenalkan sukan Pickleball yang masih dianggap baharu di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ESM Internationale (yang merupakan syarikat induk kepada ESM Pickters Club), Encik Faizal Othman, kejohanan yang dilakukan ini diharapkan mampu memupuk minat orang ramai terhadap sukan Pickleball dan seterusnya mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan ini. “ESM sentiasa bermotivasi untuk meneroka sukan baharu yang diyakini mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan. Hakikatnya, kita mempunyai ramai bakat besar di dalam sukan Pickleball dan boleh diketengahkan untuk bergelar pemain profesional, seterusnya membawa nama Malaysia di pentas dunia.

Kejohanan ini adalah salah satu usaha kecil kami untuk membangunkan sukan Pickleball di Malaysia” ESM Monthly Challenge 0.1 mempertandingkan dua kategori iaitu Beregu Campuran dan Beregu Lelaki. Siri sulung ini telah disertai seramai 24 gandingan, dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia, para expatriat di Malaysia dan mereka yang bermastautin di rantau Asia Tenggara. Bagi Siri 0.2 yang akan diadakan pada Febuari nanti, kategori Beregu Wanita akan diperkenalkan bagi menarik lebih ramai minat orang ramai terhadap sukan Pickleball ini. Selain menganjurkan kejohanan ini, ESM Pickters Club turut menyediakan kelas Pickleball, klinik Pickleball dan sesi latihan persendirian / berkumpulan. Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh mengunjungi media sosial Instagram dan Facebook ESM Pickters Club.

Subscribe To Our Telegram Channel :
The Coverage Malaysia
Share: