Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini menyifatkan gambar tular memaparkan sebuah banglo di Sik yang dikaitkan dengannya adalah fitnah untuk mempengaruhi Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) pada Ogos nanti.

Sebaliknya, beliau menjelaskan banglo tersebut milik abangnya dan penduduk sekitar daerah itu sedia maklum berhubung pemilikan sebenar hartanah tersebut.

“Foto sebuah banglo di Sik lengkap dengan imej google map yang cuba digambarkan ada kaitan dengan saya itu tidak benar dan fitnah semata-mata.

“Pemfitnah-pemfitnah ini bekerja keras menjelang PRN untuk mempengaruhi orang ramai percaya saya kini hidup kaya raya hingga mampu membina rumah seperti itu.

“Rumah itu bukan milik saya, saya tidak ada wang untuk bina rumah itu walau satu sen. Ia milik abang saya dan adakah kerana dia abang saya, dia tidak boleh bina rumah besar walaupun dia ada duit dan mampu untuk bina rumah seperti itu?,” soalnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Muhammad Sanusi, beliau amat sedih apabila hasil pengorbanan abangnya meninggalkan isteri serta anak berbulan-bulan sebagai penyelam dasar laut itu dipolitikkan hingga tergamak menafikan banglo itu bukan milik mereka.

“Dia (abang) kumpul duit setelah berpuluh tahun kerja mempertaruhkan nyawa dalam keadaan begitu bahaya untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada ahli keluarga, adakah salah?

“Pemilik rumah itu bukan orang politik. Dia tidak ada kena mengena dengan politik atau pilihan raya. Mengapa jadikan dia mangsa seolah-olah rumah itu dibina dengan duit haram sedangkan dia telah lama bekerja keras mencari rezeki hasil titik peluhnya sendiri.

“Sebagai adik, saya tahu abang saya sudah lama bekerja keras untuk membahagiakan keluarganya. Amat menyedihkan tatkala sampai masa untuk mereka mengecap sedikit kegembiraan dapat masuk rumah yang baru siap, ada pula orang yang dengki dan sakit hati hingga tergamak menjaja fitnah konon rumah itu bukan milik mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi turut menyifatkan penyebar fitnah itu seperti lalat penghurung tahi yang kotor lagi jijik.

“Mereka dengan mudah menyebarkan fitnah untuk mendapat sedikit habuan atau memuaskan dendam kesumat yang lama terpendam.

“Bersiap sedialah kalian semua untuk menjawab di dunia dan akhirat atas dosa yang telah disebarkan,” tegasnya.

Terdahulu, tular di media sosial gambar sebuah banglo besertakan gambar Google Maps di Sik yang dikaitkan dengan Muhammad Sanusi.

Berdasarkan hantaran itu, banglo tersebut didakwa didaftarkan atas nama kepada seorang ahli politik di negeri ini bagi mengaburi mata rakyat susulan nilai banglo itu RM7.8 juta.

Subscribe To Our Telegram Channel :
The Coverage Malaysia
Share: