Budaya 996
Budaya kewangan 996 datangnya daripada budaya kerja 996 China yang bermaksud kerja bermula seawal 9 pagi sehingga 9 malam selama 6 hari dalam seminggu. Keadaan ini juga bermaksud budaya kerajinan untuk bekerja selama 12 jam sehari untuk 6 hari berterusan dalam seminggu. Teori dan budaya ini disemai dalam kalangan masyarakat Cina untuk meningkatkan produktiviti , keuntungan dan kejayaan seseorang individu. Budaya kerajinan ini akhirnya telah berjaya membawa keluar lebih daripada 850 juta rakyat di negara China keluar daripada kemiskinan.
Lazimnya , teori ini sebenarnya bertentangan dengan falsah barat yang mengutamakan untuk bersara awal , keseimbangan antara kehidupan dengan pekerjaan dan juga bekerja sama ada 4 hari mahupun 4 jam dalam seminggu.
Budaya menjadi kaya dan bersara awal dari barat pula mula merebak apabila penulis buku iaitu Robert Kiyosaki menulis buku bertajuk ‘Retire Young Retire Rich’ pada tahun 2002. Kini pada tahun 2023 beliau sebenarnya sudah berumur 76 dan sudah lama menjadi jutawan tetapi masih lagi bekerja dan tidak pernah sesekali bersara. Pada masa yang sama , pencetus budaya bekerja hanya 4 jam dalam seminggu iaitu Tim Ferris yang menulis buku bertajuk ‘4-Hour Workweek’ pula bekerja ratusan jam dalam seminggu untuk terus meningkatkan kekayaan peribadinya. Tim Ferris sibuk untuk terus menghasilkan lebih banyak buku , rancangan ‘The Tim Feriss Show’ yang mengambil purata 3 jam setiap episod dan pelbagai lagi perniagaan. Dalam pada itu , manusia terkaya di dunia dari Amerika Syarikat sendiri iaitu Elon musk juga bekerja sekitar 120 jam seminggu berbanding purata negara Malaysia 45 jam seminggu.
Jika pencetus budaya sendiri tidak mengamalkan bekerja dan berusaha kurang demi untuk menjadi kaya dalam kehidupan sebenar mereka maka teori mereka sudah terbukti tidak lagi sahih. Starbucks di seluruh dunia pun tidak memiliki walaupun satu cawangan yang membuka 4 hari seminggu mahupun hanya 4 jam sehari. Penjual idea dan budaya yang mahu melembikkan populasi dunia untuk kurang berusaha tetapi mahu hasil yang maksima adalah sesuatu yang amat bahaya yang perlu dibendung. Kebangkitan negara – negara seperti Jepun , Korea , China dan Vietnam yang mengamalkan budaya memaksimakan usaha berbanding permulaan kejatuhan empayar barat yang kurang berusaha seperti Amerika Syarikat , Eropah dan United Kingdom sudah membuka mata dunia.
Masyarakat kita perlu dihindarkan daripada terus diracuni dengan pola pemikiran wang , harta , hasil dan segala – galanya mahu lebih dan berlebihan tetapi usaha yang setimpalnya semakin berkurangan untuk mencapainya.
Budaya Kewangan 996
Budaya kewangan 996 adalah sesuatu falsafah memaksimakan usaha dan bukannya mengambil secara literal kena bekerja 9 sehingga 9 untuk 6 minggu sehari. Budaya ini berkonsepkan tentang henyak sampai lunyai , bekerja keras , memberikan usaha yang maksima dan kerajinan yang kental.
Dalam dunia pola pemikiran Cina , mereka percaya untuk menerapkan konsep membina kekayaan dan kejayaan melalui budaya 996. Andai kata mereka membuka kedai satu jam lebih berbanding pesaing mereka. Jika nilai keuntungan setiap lebihan satu jam itu adalah sebanyak RM 100 maka keadaan ini hanya menandakan jumlah RM 3000 pertambahan dalam sebulan. Angka ini kemudiannya menjadi pertambahan sebanyak RM 36000 dalam setahun , RM 360 000 dalam sepuluh tahun dalam RM 1 juta dalam 28 tahun.
Perkiraan matematik tersebut juga boleh diterjemahkan kepada pelbagai versi sama ada anda adalah seorang pelajar yang belajar untuk masa yang berlebihan , penjual yang berusaha mencari jauh lebih banyak pelanggan , pengusaha kilang yang hendak memaksimakan output pengeluaran atau side gig yang memanjangkan waktu perkhidmatan. Setiap pertambahan nilai , masa , pelanggan , perkhidmatan dan pelbagai lagi secara berterusan untuk jangka masa yang panjang akan mewujudkan satu jumlah dan impak yang amat besar. Konsep ini selari dengan pepatah Ussain Bolt yang terkenal yang berbunyi beliau terpaksa berlatih kuat selama 4 tahun untuk berlari dalam 9 saat. Apa yang orang lain lihat hanya larian 9 saat itu tanpa memandang usaha keras latihan selama 4 tahun.
Tambahan pula , Cina di Malaysia pula tidak perlu bekerja 996 seperti negara China. Masa lebihan pasca tamat waktu pekerjaan mereka pula akan digunakan untuk mencari wang berlebihan melalui sumber pendapatan yang lain. Ada pula yang berusaha meningkatkan ilmu pengetahun dan kemahiran mereka untuk meningkatkan nilai dan potensi mereka untuk mencari wang yang lebih. Oleh sebab itu , walaupun purata waktu bekerja rakyat Malaysia adalah sekitar 45 jam seminggu tetapi masa dan usaha mereka untuk mencari rezeki sebenarnya masih dalam kategori 996 iaitu sekitar 12 jam sehari. Komuniti Cina sememangnya sudah diprogramkan dalam diri mereka untuk tidak akan melepaskan setiap peluang dan masa untuk mencari sebanyak wang yang boleh.
Selain itu , pekerja biasa yang kurang memiliki masa berlebihan akan cenderung dan semula jadi meningkatkan simpanan kewangan mereka. Hal ini disebabkan , mereka tidak ada masa berlebihan untuk terus membelanjakan wang mereka untuk tujuan hiburan , pembelian dan gaya hidup lain. Masa dan kehidupan mereka terlalu terikat untuk alam pekerjaan sehingga tidak ada masa untuk terus membazirkan wang untuk pelbagai benda yang tidak bermanfaat. Jika ada niat sekalipun , sudah tidak ada masa yang mengizinkan mereka untuk berbuat demikian. Wang lebihan ini akan secara automatik menambahkan simpanan bulanan mereka dimana satu hari nanti akan cukup untuk membebaskan mereka daripada alam penjajahan pekerjaan. Oleh sebab itu , setiap pembebasan kehidupan bermula daripada konsep memaksimakan usaha terlebih dahulu.
Billionaire Cina Peneraju Konsep 996
Robert Kuok merupakan manusia terkaya di negara Malaysia bernilai RM 50 Billion. Dalam bukunya bertajuk ‘Robert Kuok: A Memoir’ amat menekankan tentang budaya 996 yang berlandaskan kepada bekerja kuat. Pada tahun 2023 , beliau sudah berumur 100 tahun namun masih terus bekerja dan belum bersara walaupun sudah mencapai status seorang billionaire.
“I never had a day’s rest, except for my 1947 honeymoon to Hong Kong with Joy, and a six-month trip to Europe with Mother in 1951. I worked everyday of my life, including Sundays.” – Robert Kuok
“Man must work; work is therapeutic, it binds your mind and body together. When you work, you wake up earlier than everybody; you go to bed earlier than everybody because you need to recharge your batteries. You’re are not wasting your life away.” – Robert Kuok
“I believe man should gradually acquire wealth, working hard. By gradually acquiring it, he knows the meaning of thrift and how to conserve wealth.”- Robert Kuok
Falsafah kerja 996 Robert Kuok yang tidak akan berhenti untuk bekerja dan berusaha kuat pada setiap hari termasuk hari Ahad juga diterapkan oleh seorang lagi Billionaire Cina iaitu Li Ka Shing yang memiliki kekayaan sebanyak RM 178 Billion. Beliau memiliki gelaran ‘Superman’ kerana terkenal untuk bekerja 16 jam sehari setiap hari tanpa rehat termasuk hari Ahad.
The Coverage Malaysia