RONDAAN KAPAL PERAIRAN CHINA MEMBIMBANGKAN
Kekerapan berita pencerobohan luar ke perairan dan ruang udara negara dikhuatiri menjadi satu norma tanpa tindakbalas. Sebelum PRU-14 lagi, mantan Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan dan mantan Ketua Menteri Sabaha, Salleh Keruak telah menggesa Putrajaya supaya tidak mengambil mudah pencerobohan China, berkata tindakan negara itu adalah mesej jelas bahawa gergasi Asia tersebut mahu mengawal perairan Laut China Selatan.
Februari lalu, Kapal Pengawal Pantai China (CCG) dipercayai masih berlegar di sekitar perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali (atau dikenali sebagai Luconia Shoals), yang kaya dengan sumber minyak dan gas. Kapal-kapal itu termasuk CCG 5901, juga dikenali sebagai ‘The Monster’, yang seberat 12,000 tan kini sedang belayar hanya 55 batu nautika(nm) dari pantai Sarawak, Malaysia.
Di bawah Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982, perairan berdaulat negara adalah sehingga 12 batu nautika dari garis pantainya, manakala Zon Ekonomi Eksklusif adalah sehingga 200 batu nautika dari pantai. Beting Patinggi Ali, terletak 84 batu nautika atau 155 kilometer dari pantai Miri (khususnya di Tanjung Baram), Sarawak, jelas dalam ZEE Malaysia.
Selepas pertukaran kerajaan, sudah pasti rakyat tetap mengharap mekanisme tindak balas dari kerajaan, khususnya Kementerian Pertahanan. Selepas kementerian tersebut memberi fokus kepada empat teras utama melibatkan kebajikan dan penambahbaikan aset melibatkan peruntukan setingggi RM 17.7 bilion, adakah ruang keselamatan mempunyai penstrukturan agenda khusus untuk diperbaiki?
Perolehan Kapal Misi Pesisir (LMS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di dalam Belanjawan 2023 terkini menjangkakan pengukuhan tahap pertahanan serta kawalan maritim, tetapi bukanlah satu alasan kepada Menteri Pertahanan untuk memandang ringan sebarang pencerobohan perairan. Tidak terlampau jika sesiapa pun membuat andaian yang Malaysia akan diceroboh lagi sebelum perolehan tersebut lengkap.
Apakah pelan Malaysia sebelum tiba waktunya selain bermanja dengan ruang diplomasi?
Perairan ASEAN berada dalam ancaman keselamatan yang berterusan. Rondaan CCG di perairan sekitar Vanguard Bank di luar Vietnam, kawasan yang terkenal dengan rizab minyak dan gasnya serta tapak pertikaian berulang antara kapal China dan Vietnam, meningkat dua kali ganda kepada 310 hari pada 2022, menurut Inisiatif Ketelusan Maritim Asia yang berpangkalan di Washington.
Bilangan hari kapal China berkawal berhampiran Second Thomas Shoal di Kepulauan Spratly, di mana Filipina mengekalkan kawalan berkurung telah meningkat kepada 279 daripada 232, manakala kapal di Luconia Shoals, berhampiran operasi penting minyak dan gas Malaysia, meningkat kepada 316 daripada 279, menurut analisis institut tersebut.
Kebimbangan ini perlu segera diredakan. Jika kita mengharap ia menjadi rutin berita biasa seperti kita mendengar kes jangkitan COVID-19 saban hari dan menganggap mudah bahawa ini akan berlalu pergi, kita sebenarnya terlupa yang peluru krisis dari China kali ini, tidak boleh dibendung dengan sebarang suntikan imunisasi.
The Coverage Malaysia