GALAKAN MONOPOLI YANG MENAMBAH MASALAH KERAJAAN

Minggu lalu Ahli Parlimen Selayang (PH) William Leong menggesa Putrajaya menghapuskan monopoli dan kartel demi pembukaan pasaran kepada lebih banyak syarikat. Begitu jelas saranan beliau dalam penegasan pebagai industri termasuk telekomunikasi. Ironinya, minggu ini juga seorang Mantan Menteri Kewangan tanpa rasa bersalah mempromosi langkah monopoli industri telekomunikasi untuk internet generasi baharu 5G kepada Telekom Malaysia (TM).

Ahli Parlimen Titiwangsa (BN), Dato’ Johari Ghani kali ini telah memberikan pandangan yang nyata di luar kepakaran beliau. Penentangan keras kepada Digital Nasional Berhad (DNB) dengan alasan perbelanjaan tambahan tanpa mengambil kira tujuan asal penubuhan Special Purpose Vehicle (SPV) tersebut. Agenda ‘penjimatan perbelanjaan’ nampak cantik di atas kertas. Tetapi mahukah Malaysia membayangkan dejavu ringkas kezaliman industri ini?

Ketika pengenalan internet pantas jalur lebar dilancarkan 11 tahun lalu, TM telah menyelusuri rekod perkhidmatan yang mengecewakan sebagai pemula projek. Sehingga hari ini, aduan maya sudah menjadi ruji perkhidmatan TM berkenaan servis yang tidak memuaskan dari produk Unifi, diikuti rakan industri syarikat telekomunikasi dengan pelan khidmat tidak berpadanan harga masing-masing. Malah, sehingga hari ini pun pelaksanaan 4G belum mencapai 100% kawasan berpenduduk di samping bantuan berterusan kerajaan melalui program Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Penyerahan tanggungjawab ini kepada TM hanya menjinakkan kapitalis monopoli untuk beraksi dengan lebih ‘ekonomik’. TM kini sudah beroperasi dalam skala pukal dan runcit dalam pelbagai akses kepada pengguna individu dan perniagaan. Tidak ada potensi keadilan harga dapat dicapai antara TM dengan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) lain untuk pengagihan spektrum 5G, apatah lagi prinsip penyediaan perkhidmatan demi kesenjangan akses – hanya akan menjadi angan-angan tatkala persaingan sesama industri menjadi nadi kepada memenuhi permintaan pemegang taruh.

Trending  Malaysia Ranked 8th Most Breached Country With 494,699 Leaked Accounts - 5436 Accounts Were Breached Per Day

Model prasarana DNB sedia ada yang disepakati lima syarikat telekomunikasi dalam rangka perkongsian saham telah meninggalkan era kuno monopoli. Bahkan TM sendiri mempunyai saham penentuan di dalam pembuatan keputusan DNB. Pemecahan pasaran ini perlu sentiasa diperingat kepada masyarakat demi mematahkan kitaran persaingan industri yang akur kepada kemahuan syarikat yang berorientasikan keuntungan. Apakah kepakaran yang ada dalam TM tidak boleh dikongsi bersama dalam pelancaran 5G kali ini?

Mengulangi kesilapan bukanlah satu rekod Malaysia yang perlu dibanggakan. Monopoli dalam mana-mana industri tidak pernah mendahulukan kepentingan negara dan rakyat. Tanpa persaingan, episod kelekaan, pengabaian prestasi, kebertanggungjawaban yang rendah, serta tatakelola yang lemah akan kembali diulang siar. Semua ini adalah resipi asas kepada bencana.

Apakah TM sudah memastikan kualiti ditingkatkan selaras kepuasan pelanggan? Apakah perkhidmatan mereka berpadanan dengan bayaran? Di Thailand juga entiti swasta saling berhubung jalin tanpa sebuah monopoli untuk industri 5G. Mungkin ia idea yang masuk akal jika penerapan keseimbangan yang dicadangkan Titiwangsa untuk perkongsian kepakaran atau keseimbangan milikan saham antara sektor awam dan swasta. Tetapi persaingan tertutup dan monopoli industri sudah menjadi malapetaka purba di Malaysia puluhan tahun. Mana mungkin seorang mantan Menteri Kewangan boleh terlepas pandang hal sekritikal ini?

Ketika YAB Perdana Menteri memandang ke hadapan untuk tidak lagi melengahkan peluncuran 5G ke seluruh negara, gangguan-gangguan politik sumbang sebegini adalah tidak wajar dilontarkan. Malah siri persoalan akan timbul kepada politikus, bagi pihak siapa sebenarnya anda bersuara? Sekiranya berlaku masalah di dalam DNB, perbaikilah. Kita sudah bergerak separuh jalan, siapa pula yang mahu diuntungkan untuk kita berpatah ke pangkal?

Subscribe To Our Telegram Channel :
The Coverage Malaysia
Share: