Jawapan yang diberikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, terhadap pertikaian yang ditimbulkan oleh bekas Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri, Ong Kian Ming merupakan jawapan yang sangat lemah dan tidak berjaya menepis keraguan. Sebelum ini, Ong menimbulkan persoalan mengapakah kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim, yang melaungkan tatakelola yang baik dan telus, tiba-tiba memberi isyarat bahawa Huawei telah diberi kontrak rangkaian 5G kedua tanpa proses tender terbuka mahupun terhad yang seharusnya dilaksanakan.
Fahmi cuba menepis dakwaan ini dengan mengatakan bahawa sehingga kini, kerajaan belum membuka tender untuk rangkaian 5G kedua tersebut. Namun secara tidak sedar, jawapan ini sebenarnya telah bercanggah dengan ucapan yang isyarat yang diberikan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Anwar sebelum ini telah mengumumkan bahawa kerajaan membenarkan Huawei dari China memecahkan monopoli milik DNB terhadap rangkaian 5G. Ini bermakna proses rundingan antara kerajaan dengan Huawei sudah bermula.
Namun jikalau tiada proses tender dibuka, ini bermaksud rundingan antara kerajaan dengan Huawei adalah rundingan terus yang langsung menutup ruang semakan dan pertimbangan ketelusan. Adalah amat musykil apabila hal ini berlaku kerana menurut Ong, antara arahan pertama yang dikeluarkan oleh Anwar sejurus dilantik menjadi perdana menteri adalah untuk membuka siasatan penuh mengenai kontrak rangkaian 5G sedia ada yang diberikan kepada Ericsson melalui Digital Nasional Berhad (DNB).
Keputusan siasatan tersebut mendapati bahawa kontrak berkenaan telah diberikan secara telus, mengikut proses tender yang sepatutnya. Persoalannya, setelah memeriksa dan memastikan bahawa proses pemberian kontrak pertama dijalankan dengan telus dan baik, mengapakah tiba-tiba proses kontrak kedua ini hendak mencabuli tatakelola yang selama ini diperjuangkan? Hal ini menguatkan lagi dakwaan bahawa kerajaan kini sedang cuba membunuh DNB, anak syarikatnya sendiri. Hal ini kerana sehingga kini, keperluan untuk rangkaian 5G kedua belum dapat dibuktikan dengan kukuh, terutamanya kerana DNB dilihat telah melakukan usaha yang baik dalam melaksanakan rangkaian 5G.
Malah Malaysia turut diperakui sebagai salah satu negara dengan kelajuan 5G yang paling laju di dunia. Ini membuktikan bahawa model rangkaian borong tunggal yang diguna pakai oleh DNB ini berkesan. Maka dalam keadaan ini, apakah keperluannya untuk berbelanja bagi rangkaian kedua? Malah, struktur pemilikan DNB yang masih belum berjaya dimuktamadkan sehingga kini juga memberi isyarat bahawa syarikat telko gergasi di Malaysia sedang menunggu masa DNB lingkup agar asetnya boleh dilelong dengan harga yang murah dan mereka tidak lagi perlu membayar yuran akses kepada DNB seperti sistem sedia ada sekarang.
Jawapan Fahmi yang bersifat sinis juga menunjukkan bahawa dirinya sebenarnya tidak benar-benar fasih dan memahami apa yang sedang berlaku, atau sedang menyembunyikan perkara sebenar daripada pengetahuan awam. Fahmi cuba menyindir Ong apabila menyebut “mungkin Kian Ming terlalu ke hadapan. Kita masih di tahun 2023 dan dia di tahun 2024,”.
Hakikatnya pendekatan ini hanya menampakkan bahawa Fahmi tidak memahami tahap keseriusan isu dan mengambil ringan sahaja terhadap perkara ini. Sedangkan isu DNB ini boleh menjadi barah kerana sekiranya DNB lingkup, Kementerian Kewangan dan kerajaanlah yang akan terpaksa menanggung hutang DNB, dan bukannya syarikat pengendali telko. Di saat syarikat telko gergasi meraih keuntungan dengan pembelian aset pada harga murah, liabiliti dan hutang pula akan dibebankan ke atas pundak pembayar cukai.
Dalam masa yang sama, cubaan Fahmi untuk memberi penerangan dan mempertahankan ucapan Anwar juga sangat lemah. Fahmi cuba menutup cerita sebenar dengan menyatakan bahawa ungkapan Anwar itu hanyalah bersifat komersial dan tidak membawa maksud rundingan sudah dimulakan. Namun jawapan ini pincang kerana ucapan Anwar adalah spesifik merujuk Huawei sahaja dan tidak merujuk kepada mana-mana syarikat pengendali dan penyedia fasiliti dan peralatan 5G yang lain.
Malah penjelasan Anwar bahawa sistem itu membolehkan Malaysia menerima manfaat daripada teknologi Barat dan Timur juga merupakan suatu indikator besar bahawa Malaysia sememangnya akan memberikan kontrak tersebut kepada syarikat teknologi gergasi daripada negara tembok besar itu.
Kesimpulannya, cubaan Fahmi Fadzil untuk menepis dakwaan Ong Kian Ming bahawa kerajaan telah mencabuli prinsip tatakelola yang dilaungkannya sendiri telah gagal. Jelas usaha memberikan kontrak rangkaian kedua 5G kepada Huawei sebenarnya sudah dimulakan.
The Coverage Malaysia