Kritikan Perspektif Malaysia Terhadap Peta Baharu Laut China Selatan
Beberapa hari yang lalu, Perdana Menteri ke-10 Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah ditemuramah oleh Christiane Amanpour, seorang jurnalis terkemuka dari firma berita ternama Amerika Syarikat, CNN. Tidak dinafikan, Amanpour sememangnya mempunyai reputasi tersendiri dalam mengendalikan temubual dengan tokoh dunia. Sering kali Amanpour memetik soalan-soalan berbentuk provokatif untuk melihat reaksi tokoh yang ditemubualnya. Dalam temubual ini, Amanpour telah mengasak Anwar dengan isu berkaitan tuntutan Laut China Selatan. Lebih spesifik, berkaitan Peta Standard China 2023 yang dikeluarkan baru-baru ini.
Malangnya, jawapan yang diberikan Anwar terhadap soalan ini adalah sangat kurang memuaskan. Ringkasnya, Anwar menyatakan bahawa beliau ‘extremely pleased’ (terlalu sangat gembira) dan ‘extremely satisfied’ (terlalu sangat berpuas hati) dengan respon yang diberikan oleh China dalam pertemuan beliau dengan pemimpin negara tersebut. Apabila memberi pandangan di pentas antarabangsa, sudah tentu segala ucapan Anwar ini akan dianggap sebagai mewakili pandangan seluruh negara. Begitupun, jika dilihat senario di Malaysia, hakikatnya sangat berbeza dengan ucapan Anwar ini. Sebelum ini, Malaysia telah menyatakan komitmen membantah penerbitan peta tersebut.
Namun jawapan Anwar ini jelas bercanggah dengan apa yang berlaku dalam negara. Hal ini seolah-olah memberi isyarat bahawa Malaysia sebenarnya tunduk sahaja dengan segala permainan dan alasan yang diberikan oleh China. Memang benar bahawa secara logiknya, China merupakan negara yang jauh lebih besar dan lebih berupaya dari Malaysia dari segala hal. Menentang China secara terang-terangan ibarat menempah peluru ke kepala sendiri. Namun sebenarnya jawapan yang diberikan Anwar ini tidak juga menjamin hal yang terbaik untuk Malaysia. Umum tahu bahawa hubungan Amerika Syarikat dan China sememangnya bukan pada tahap yang baik.
Hubungan kedua-dua negara tersebut boleh diibaratkan seperti hubungan Amerika dengan Kesatuan Soviet dahulu. Kedua-dua negara ini menanti masa dan alasan sahaja untuk berbalah sehingga boleh meletusnya perang pada skala yang berbahaya untuk seisi dunia. Sememangnya sifat sedemikian adalah mementingkan diri dan tidak harus dilakukan. Kedua-dua negara ini juga sedang merebut sokongan daripada negara-negara Asia Tenggara. Hal ini dibuktikan melalui perjumpaan ASEAN Summit beberapa minggu lepas yang menyaksikan Amerika Syarikat cuba melobi negara-negara ASEAN dan ugutan yang diberikan oleh China sekiranya ASEAN benar memihak kepada Amerika.
Oleh yang demikian, apabila Anwar menyatakan kepuasan hati yang tersangat tinggi dengan jawapan yang diberikan oleh China, hakikatnya Anwar seolah-olah menyatakan sokongan yang berpihak kepada China. Sudah tentulah hal ini menampakkan bahawa kedaulatan Malaysia terlalu mudah dicabar dengan kuasa besar. Ianya juga berkemungkinan mengundang reaksi negatif daripada Amerika Syarikat. Tambahan lagi, konteks jawapan Anwar juga tidak tepat menggambarkan situasi sebenar. Menurut Anwar, China berjanji bahawa walaupun mereka mempunyai tuntutan ke atas kawasan tersebut, namun China tidak akan melakukan apa-apa tindakan yang boleh menggugat negara-negara di Asia Tenggara.
Hakikatnya, sejak bermula isu tuntutan kawasan maritim ini, sudah banyak kali China menggunakan kekuatan ketenteraannya untuk menggugat dan membuli aset-aset negara rantau ini. Beberapa bulan yang lalu, ketika kapal cari gali minyak dari Malaysia sedang melakukan operasi di kawasan perairan dalam tuntutan Malaysia sendiri, China telah menghantar kapal perangnya untuk menghalau aset dari Malaysia. Malah insiden sedemikian bukan sekali dua dilakukan, boleh dikatakan insiden serupa telah berlaku berbelas-belas kali dalam tempoh setahun terhadap negara-negara yang terlibat dalam tuntutan kawasan perairan tersebut.
Kesimpulannya, dari satu sudut, mungkin Anwar cuba berdiplomatik dan memberi jawapan selamat untuk meyakinkan China bahawa Malaysia tidak menginginkan perbalahan dengan negara besar tersebut. Namun di satu sudut yang lain, Anwar sepertinya telah menggadai nilai dan prinsip kedaulatan negara sendiri, di samping mengundang reaksi kurang menyenangkan daripada negara ketiga seperti Amerika.
The Coverage Malaysia