China memberi amaran kepada negara-negara ASEAN agar tidak terlalu mesra dengan Amerika Syarikat dan menyatakan kemungkinan perang dingin bakal tercetus sekiranya negara-negara ASEAN ingin menyokong gergasi barat itu. Sehubungan itu, China juga meminta agar negara-negara ASEAN mengenepikan perbezaan pendapat peribadi ketika mengulas berkaitan konflik perebutan Laut China Selatan yang semakin panas susulan peta baharu yang dikeluarkan oleh China yang menuntut sebahagian besar kawasan pertikaian Laut China Selatan dengan negara-negara ASEAN.
Mesej China ini disampaikan oleh Perdana Menteri China, Li Qiang pada mesyuarat ASEAN+3 (APT) dengan Jepun dan Korea Selatan di Jakarta. Hal ini setelah pegawai tertinggi Asia dan Amerika Syarikat (AS) berkumpul untuk rundingan di ASEAN Summit di Indonesia. Li Qiang menyatakan kebimbangan mengenai pembentukan blok disokong AS di rantau ini, ketika China menghadapi pertikaian dengan kuasa dengan negara serantau lain mengenai Laut China Selatan dan beberapa isu lain.
Li Qiang menyebut bahawa percanggahan pendapat dan pertikaian mungkin timbul antara negara disebabkan persepsi yang salah, kepentingan yang berbeza atau campur tangan luar. Qiang juga menyatakan bahawa bagi memastikan percanggahan pendapat terkawal, apa yang penting sekarang ialah menentang amalan berpuak, konfrontasi blok dan Perang Dingin yang baharu.
Semua 10 negara anggota ASEAN mengadakan sidang kemuncak berasingan dengan China, Jepun, Korea Selatan, AS dan Kanada pada Selasa, 12/9/2023 bagi menyediakan pentas untuk kuasa besar melobi blok itu dan pesaing memainkan peranan. Naib Presiden AS, Kamala Harris, hadir menggantikan Presiden Joe Biden, manakala Qiang mengambil bahagian bagi menggantikan tempat yang sepatutnya diisi Presiden Xi Jinping.
Harris bertemu pemimpin ASEAN dan memuji mereka kerana komitmen bersama terhadap peraturan dan norma antarabangsa serta isu serantau. Sebagai tanda pembabitan serantau Washington yang semakin meningkat, beliau turut mengumumkan penubuhan pusat AS-ASEAN yang pertama di Washington.
Mesyuarat itu dibuat sebelum penganjuran Sidang Kemuncak Asia Timur, membabitkan 18 anggota, yang akan dihadiri Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov. Sementara itu, sidang kemuncak G20 pula dianjurkan di New Delhi pada hujung minggu, di mana isu geopolitik yang lebih luas dijangka menjadi agenda utama. Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol menghadiri dua hari mesyuarat itu.
The Coverage Malaysia