Selepas kerajaan semalam mengumumkan untuk membenarkan pembentukan pembekal rangkaian kedua 5G di negara seawal tahun depan, CelcomDigi Sdn Bhd menarik balik penglibatan ekuiti mereka dalam Digital Nasional Berhad (DNB).
Kumpulan itu dalam notis dihantar kepada Bursa Malaysia berkata mereka menamatkan perjanjian untuk melanggan 12.5% kepentingan masing-masing dalam DNB menerusi Digi Communications Sdn Bhd dan Celcom Communications Sdn Bhd.
Pada Oktober tahun lepas, empat syarikat telekomunikasi negara -Celcom, Digi, YTL Communications Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Bhd- mengumumkan mereka akan secara kolektif memegang 65% kepentingan dalam DNB. Maxis dan U Mobile Sdn Bhd pula memilih untuk tidak terlibat.
Kebenaran diberikan kerajaan semalam bemaksud syarikat telekomunikasi dibenarkan untuk membentuk konsortium yang akan membekalkan rangkaian 5G mereka sendiri untuk bersaing dengan DNB, seterusnya memecahkan “monopoli”.
Situasi yang wujud kini adalah antara kebimbangan yang pernah disuarakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif DNB Ralph Marshall yang menyatakan DNB dalam situasinya sekarang tidak akan mampu bersaing dengan pembekal kedua -terdiri daripada syarikat telekomunikasi- seterusnya akan mewujudkan “pemonopoli baharu” dalam pelaksanaan rangkaian 5G negara.
The Coverage Malaysia