>> Baik dengan China, jangan sampai lupakan saudara seIslam kita

Seorang aktivis ternama Uighur merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyokong perjuangan saudara seIslam etnik Uighur di wilayah Xinjiang, China. 

Pengarah Pusat Kajian Uighur di Washington, Abdulhakim Idris membuat rayuan itu ketika bertemu Anwar pada majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur, 19 April lalu. 

“Kami dimaklumkan yang Anwar Ibrahim, perdana menteri Malaysia, akan hadir pada majlis berbuka puasa ini, jadi saya sediakan sepucuk surat untuk diberi kepadanya yang menggambarkan situasi semasa orang Uighur,” katanya kepada Radio Free Asia. 

Pada majlis itu, Anwar memberikan ucapan yang menyatakan sokongan kepada orang Islam di seluruh dunia dan meluahkan rasa simpati kepada etnik Uighur. 

Untuk rekod, pada 2018, Anwar menuntut kerajaan China memberikan kebebasan beragama dan pergerakan kepada etnik Uighur yang ditindas negara itu kerana agama mereka. 

Bagaimanapun, pendirian tegas ini berubah apabila beliau menjadi perdana menteri. Dalam lawatan ke China pada awal April lalu, Anwar hanya berkata yang isu Uighur adalah “isu dalaman kerajaan China.” 

Perubahan pendirian ini disifatkan Erkin Ekrem, naib presiden Kongres Uighur Sedunia dan profesor madya di Hacettepe University di Turki sebagai “taktik politik.” 

“Dia tidak menyebut langsung isu Uighur ketika melawat China tiga minggu lalu. Dia balik ke Malaysia selepas meluahkan hasrat untuk mengukuhkan hubungan antara dua neara. 

“Kata-kata yang diberikan kepada delegasi Uighur hanyalah taktik politik. Jika mereka (China) tak bua tapa-apa, jadi dia boleh kata ‘tak ada apa lagi kami boleh buat’,” kata Ekrem. 

Krisis kemanusiaan etnik Uighur di Xinjiang, China disifatkan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah krisis kemanusiaan terburuk sedang berlaku, sementara kuasa besar Barat seperti Amerika Syarikat dan Kanada menyifatkannya sebagai penghapusan bangsa (genocide). 

China menyifatkan penindasannya kepada etnik Uighur sebagai “program pendidikan semula” dalam “pusat latihan dan pendidikan vokasional”. Pelbagai pemerhatian dan kajian pakar menganggarkan program itu bermula pada 2014 dan diperhebat pada 2017. 

Pada tahun itu, pakar mengesan bukti pembinaan “pusat pendidikan semula baharu” dan peluasan fasiliti sedia ada untuk penahanan besar-besaran. Laporan Reuters berdasarkan kajian imej satelit turut menemui 39 kem, meningkat tiga kali ganda antara April 2017 hingga Ogos 2018. Keluasan kawasan ini bersamaan dengan saiz 140 padang bola sepak. Malah kajian ke atas perbelanjaan kerajaan tempatan dan pusat China turut mendapati bajet untuk pembinaan fasiliti berkaitan sekuriti di Xinjiang meningkat 20 bilion yuan pada 2017 sahaja. 

Pada hujung 2019, gabenor Xinjiang mengatakan mereka yang ditahan sudah “bergraduasi” dan pusat sudah ditutup. Tetapi pada 2020, penyelidik Institut Dasar Strategik Australia (ASPI) mengenalpasti lebih 380 kem disyaki pusat tahanan berdasarkan kajian imej satelit. 

Badan pemantau hak asasi global, Human Rights Watch turut melaporkan lebih setengah juta orang didakwa sejak 2017 di Xinjiang. Menurut laporan Associated Press pula, di satu daerah dianggarkan satu daripada 25 orang dipenjara atas pelbagai dakwaan berkaitan keganasan, kesemua mereka daripada etnik Uighur.

Subscribe To Our Telegram Channel :
The Coverage Malaysia
Share: