Salah satu idea yang cuba dimajukan ke ruang awam oleh pengkritik Digital Nasional Berhad (DNB) adalah bagaimana syarikat ini akan memonopoli pelaksanaan 5G seterusnya memberi kesan buruk kepada pengguna.
Sama ada ia dinyatakan secara terang-terangan atau berselindung di sebalik desakan melantik pemborong kedua seterusnya menggantikan pendekatan pelaksanaan Single Wholesale Network (SWN) kepada Dual Wholesale Network (DWN), ia bertujuan menyuntik ketakutan akan wujud monopoli yang akan menghalang kejayaan pelaksanaan dan inovasi 5G di Malaysia.
Laporan eksklusif Reuters pada 17 April lepas kembali merancakkan perbincangan perkara ini. Ia mendedahkan yang kerajaan Anwar Ibrahim merancang untuk melantik pemborong rangkaian 5G kedua seawal 2024 bagi mencabar kedudukan DNB dalam pasaran. Kenyataan ini bukan sebarangan, ia disahkan empat sumber yang rapat dengan perkara itu. Dan kini dari Reuters, agensi berita antarabangsa yang etika kewartawanan mereka tidak lagi perlu dipersoalkan.
Menteri Digital dan Komunikasi Fahmi Fadzil kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang “ia masih dalam perbincangan” walaupun tajuk berita yang dikeluarkan News Straits Times bersifat “clickbait”, “5G rollout only through DNB, says Fahmi”. Dalam laporan tersebut, Fahmi sekalipun tidak menyebut 5G hanya dilaksanakan menerusi DNB, sebaliknya beliau berkata “Kami dalam proses semakan. Perbincangan sedang diadakan dengan semua pihak terlibat. Tetapi tiada keputusan lagi. Kita tunggu pengumuman jika ada.”
Dalam soal siapa betul, siapa cuba bersembunyi. Kita tidak tahu, tetapi jika ikut prestasi siapa yang kemahiran komunikasinya lemah, kita tahu siapa.
Penekanan diberikan oleh kerajaan Anwar dalam isu DNB adalah kebimbangan ia akan mewujudkan monopoli dan keraguan tentang ketelusan pemberian kontrak kepada kontraktor DNB, Ericsson.
Ini perkara lama yang sudah dijelaskan pada 2022 oleh Ketua Eksekutif DNB ketika itu Ralph Marshall untuk menjawab persoalan dikemukan mantan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Min.
Pertamanya, pendekatan SWN ini terinsiprasi hasil laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada akhir 2019 ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang menyalahkan kelewatan pelaksanaan 5G kerana ketiadaan keperluan untuk syarikat telekomunikasi melaksanakannya secepat mungkin kerana mereka masih tidak puas memerah keuntungan daripada rangkaian 4G yang dibangunkan dan dimiliki mereka.
Sikap ini menyebabkan Malaysia jauh ketinggalan berbanding negara jiran lain dalam pelaksanaan 5G yang memberi kesan langsung kepada pelaburan langsung asing (FDI) yang bergantung kepada infrastruktur dan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.
Perlu diingatkan yang spektrum 5G adalah sumber nasional yang terhad yang perlu digunakan sebaik mungkin bagi memberi manfaat terbaik kepada negara dan rakyat. Ia serupa dengan sumber gas dan minyak negara yang diberikan kepada Petronas.
Malah, apabila DNB sebagai pemborong tunggal rangkaian mula melaksanakan 5G, ia berjaya mencapai ketersediaan rangkaian 5G sebanyak 54.7% dengan sasaran 80% kawasan berpenduduk negara akan menerima rangkaian 5G pada hujung tahun 2023. Setakat Februari 2023, sebanyak 4,363 tapak 5G telah berjaya dibangunkan di seluruh negara.
Sekadar rekod, pelaksanaan 4G yang diberikan kepada sembilan syarikat telekomunikasi pada 2013 masih belum mencapai kadar 100% ketersediaan di seluruh negara. Selepas kerajaan ‘masuk campur’ dengan melancarkan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada 2020, kadar 4G seluruh negara setakat 2022 adalah 95.98%.
Sebagai perbandingan, Malaysia melancarkan 4G hanya setahun lewat dari Korea Selatan, tetapi kadar kelajuan internet kita lambat 10 kali ganda berbanding negara itu. Malah, Malaysia dengan jumlah syarikat telekomunikasi yang banyak jauh ketinggalan daripada aspek kemajuan internet berbanding negara jiran- Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam.
Pendek kata, dalam konteks pihak mana lebih baik dalam pelaksanaan rangkaian terbaru telekomunikasi negara dengan mengambil kira pengajaran daripada kejayaan pelaksanaan 5G dan kelewatan 4G, kita sudah ada jawapan yang jelas.
Infrastruktur telekomunikasi dan rangkaian internet masa kini adalah utiliti dan keperluan awam, maka ia perlukan satu mekanisma pengawalan kepentingan awam sekurang-kurangnya pada peringkat awal pelaksanaan bagi menjaga kepentingan rakyat dan negara, bukannya tunduk kepada asakan keuntungan penswastaan yang beretorik tentang monopoli dan inovasi sahaja.
Wujud juga kebimbangan dengan membenarkan pihak kedua menjadi pemborong rangkaian telekomunikasi bagi mencabar DNB, ia akan menyebabkan DNB tidak boleh bersaing dan memenangkan pihak kedua tersebut yang akan menjadi pemborong tunggal. Tetapi kali ini ia akan dimonopoli syarikat swasta dengan tiada kepentingan kerajaan yang boleh mengulangi kisah ngeri pelaksanaan 4G.
Buat masa sekarang, sekurang-kurangnya DNB perlu diberikan peluang untuk membuktikan agendanya meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan. Ia adalah syarikat berkeutamaan khas (SPV) dimiliki sepenuhnya kerajaan menerusi Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Digital, dengan dana RM16 bilion dan 257 kakitangan bagi menyokong pelaksanaannya.
Ericsson yang diberikan kontrak pelaksanaan pula adalah syarikat telekomunikasi antarabangsa yang berpengalaman luas dalam pelaksanaan 5G di seluruh dunia termasuk di Singapura dan India. Ia bukan ‘syarikat dua ringgit’ yang baru dibentuk atau syarikat dengan rekod buruk pencabulan hak asasi manusia.
DNB juga sedar monopoli tidak akan menguntungkan sesiapa, disebabkan itulah wujud rancangan mengurangkan 100% kepentingan kerajaan selepas pelaksanaan 5G supaya syarikat telekomunikasi boleh memegang kepentingan.
Tetapi sekurang-kurangnya buat masa sekarang, kita perlu mengekalkan struktur DNB dan kontraktor pelaksanaan 5G bagi memastikan ia berjaya dilaksanakan dengan seberapa segera tanpa sebarang agenda keuntungan pihak korporat. Soal monopoli dan ketelusan tidak boleh dilaungkan tanpa mengambil kira kepentingan rakyat dan negara, jika tidak ia hanya bersifat “performative act”.
Sepertimana kita membuka industri telekomunikasi di bawah Dasar Penswastaan dengan harapan ia memberi khidmat lebih baik dan murah kepada rakyat pada awal 1990-an, tetapi sehingga sekarang kerajaan masih lagi terpaksa berbincang harga pakej internet lebih murah untuk rakyat. Kita perlu bertanya, mahukah kita mengulangi perkara sama dengan 5G?
The Coverage Malaysia