Perebutan wilayah perairan di Laut China Selatan sudah lama berlarutan.
Konflik ini melibatkan banyak negara termasuklah Malaysia, China, Brunei, Filipina dan Indonesia.
Dalam lawatan kerja ke China baru-baru ini, Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia untuk berunding dengan China bagi meredakan ketegangan di perairan berkonflik tersebut.
Di sebalik keterbukaan Anwar untuk membawa China ke meja bulat, wujud suara-suara dangkal yang lantang berbunyi seolah tindakan Perdana Menteri itu ‘lemah’.
Sejauh mana tindakan ‘tegas’ yang diaplikasikan Kerajaan Malaysia selama ini menyelesaikan dalam konflik tersebut?
Tiada hasilnya. Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan, China semakin agresif dalam menjayakan tuntutan mereka sebagai respon balas strategi diplomasi ‘tegas’ Malaysia dana negara tetangga selama ini.
Lihat sahaja pencerobohan oleh aset maritim China hampir setiap hari.
Rondaan pesawat tempur tercanggih China, J-11 di ruang udara Laut China Selatan yang sudah menjadi rutin.
Malah, kerja-kerja gali cari minyak oleh Petronas di lapangan Kawasari terganggu susulan kehadiran kapal Pengawal Pantai China (CCG).
Kesemua ini adalah hasil diplomasi ‘tegas’ dan ‘kuat’ yang diambil selama ini.
Maka, Anwar cuba hadir dengan solusi baharu. Api tidak semestinya dilawan dengan api.
Malah, kesediaan Anwar untuk berunding dengan China tidak sama sekali membawa maksud pengiktirafan Malaysia terhadap tuntutan kuasa besar tersebut.
Usah khuatir. Malaysia tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf tuntutan China terhadap wilayah laut yang sudah jelas milik negara seperi Beting Patinggi Ali.
Cubaan Anwar untuk berunding cuma memberi signal bahawa Malaysia cuba mencari penyelesaian baharu setelah ketegasan diplomasi selama ini langsung tidak berjaya, atau dalam bahasa lebih mudah, gagal.
Sama ada tawaran ini membuah hasil atau tidak, sama-sama kita nantikan.
Yang pasti, terkait konflik di Laut China Selatan, hak aset negara seperti Petronas untuk mengisi kantung negara dan hak nelayan kecil untuk mengisi perut keluarga tidak akan dikompromi sama sekali.
The Coverage Malaysia