Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden ke Riyadh pada 15 julai 2022 dan pertemuaan dengan Putera Mahkota Mohammed Salman (MBS) menjadi polemik dikalangan rakyat AS kerana dua sebab. Manjadi lebih sensasi bila tersebar gambar kedua-dua pemimpin ini ‘fist bump’ diantara satu sama lain.

Sebab pertama adalah MBS adalah pemimpin yang kontroversial jika hendak dikaitkan dengan isu pembunuhan Jamal Khashoggi di pejabat konsulat Arab Saudi, Instabul pada 2018. Malah Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS mendakwa MBS terlibat secara langsung dalam memberi arahan pembunuhan tersebut.

Sebab kedua adalah kerana Biden gagal dalam matlamat misinya untuk memujuk MBS meningkatkan pengeluaran minyak Arab Saudi demi meredakan harga minyak petrol yang melonjak tinggi pada ketika itu di AS yang telah menaikan kemarahan rakyat Amerika terhadap pentadbiran Whitehouse.

Menjadi polemik pertemuan Biden dengan MBS bukan sangat kerana kegagalan pujukan Biden tetapi rakyat Amerika merasa terkilan seolah presiden kuasa besar terpaksa tunduk dan mengemis simpati Arab Saudi sebuah negara bukan kuasa besar dan negara Islam pulak tu. Ahli politik dari Parti Republikan umpamanya mencuri peluang dari polemik ini untuk meraih sokongan dengan mengutuk tindakan Biden yang sanggup bertemu dan tunduk kepada MBS. 

Tidak menghairankan isu pertemuan Biden dan MBS menjadi polemik kerana AS adalah kuasa besar yang dilihat mengemis simpati negara Arab. Sememangnya Biden mengetahui risiko yang diambil adalah tinggi dan kegagalan akan diambil peluang oleh seteru politik tetapi beliau memikirkan betapa kritikalnya menurunkan harga minyak sehingga sanggup menempuh risiko tersebut.

Tetapi agak menghairankan apabila isu tiada pertemuan diantara Dato Seri Anwar Ibrahim dengan Raja Salman dan juga MBS menjadi polemik kerana pemangkin seperti yang berlaku di AS langsung tidak ujud dalam kes Anwar Ibrahim.

Amat difahami dan telah diduga mengapa Parti Republikan mencuri peluang politik ekoran kegagalan Biden kerana Amerika ialah kuasa besar manakala harga minyak yang berterusan tinggi akan menekan rakyat Amerika yang selama ini serasi dengan harga petrol di pam yang agak rendah.

Ujian sebenar lawatan Anwar Ibrahim ke luar negara akan berlaku dalam beberapa hari lagi bila beliau melakukan lawatan rasmi ke China. Pertemuan samada dengan Presiden Xi Jinping atau Perdana Menteri Li Qiang dianggap mesti tercetus kerana banyak isu perlu dirungkaikan diantara Kuala Lumpur dan Beijing. 

Jika Anwar Ibrahim mengambil sikap populis sudah pasti beliau akan memanjangkan lawatan ke Arab Saudi untuk pertemuan dengan MBS tetapi hakikatnya ini akan sedikit merencatkan lawatan ke China. Isu seperti tuntutan bertindih Laut China Selatan (LCS) kerana Anwar Ibrahim semasa pertemuan dengan presiden Filipina Ferdinan Marcos Jr. berpendapat Kod Tatacara LCS (CoC) perlu diselesaikan dengan segera. 

Begitu jua dengan perjanjian Kawasan Bebas Cukai Asean China (ACFTA) Versi 3.0 yang sedang dalam perbicangan sudah pasti ada dalam agenda perbincangan kerana Beijing mahu menumpukan ekonomi digital dalam ACFTA ver 3.0 dan hasrat ini selaras dengan visi Anwar Ibrahim yang mahu pastikan Malaysia tumpukan perhatian kepada ekonomi digital.

Begitu jua perbincangan mengenai perjanjian perdagangan terbesar iaitu Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang mana China adalah tonggaknya sudah agak pasti akan timbul dalam perbincangan kedua-dua pemimpin kerana manfaat utnuk Malaysia melalui RCEP adalah terbentang luas. 

Tidak keterlaluan pembangkang di Malaysia terutama Perikatan Nasional (PN) begitu bersifat oportunis dengan menjadikan isu tiada pertemuan dengan pemimpin Arab Saudi bagaikan malapetaka buat negara sedangkan beberapa matlamat asal lawatan perdana menteri dicapai terutama dalam sektor ekonomi dan juga geopolitik negara Islam.

Tidak syak lagi PN mahu menjadi populis dikalangan pengundi Melayu dengan menabur persepsi negatif tanggapan Anwar Ibrahim tidak dihormati oleh pemimpin Arab Saudi. Jika PN mahu bersifat kritikal dalam hal lawatan ke luar negara oleh Anwar Ibrahim seharusnya lawatan ke China menjadi perhatian dan bukannya ke Arab Saudi.

Tetapi PN perlu berhati hati dengan strategi ini yang matlamatnya untuk melemahkan Anwar Ibrahim sama seperti Parti Republikan mahu kucar kacir pentadbiran Biden dalam hal MBS. Kritikan dan komen negatif terhadap Biden terkait MBS oleh ahli politik Amerika di dengari oleh Riyadh dan akhirnya Riyadh dari segi geopolitik menjadi rengang dengan Washington. Perlu dielakkan tohmahan berlebihan terhadap lawatan Anwar Ibrahim ke Riyadh kerana kita tak mahu ianya sampai terpalit ke Riyadh.

Azmi Hassan,
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Nusantara NASR.

Subscribe To Our Telegram Channel :
The Coverage Malaysia
Share: